Saturday, 16 April 2016

L A L A N G

Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah”
(Riwayat Muslim)

Aku masih teringat pada kata kata sahabatku tentang maksud tersirat ‘lalang’. Pada mulanya Mama Nida dan Sir Faiz menyuruh kami membina ayat tentang ‘lalang’ yang mana lalang ni sifatnya boleh disandarkan kepada sifat manusia. Mungkin ramai yang tahu bahawa lalang ini sifatnya tak berpendirian. Ditiup angin ke kanan maka ke kananlah ia. Kalau dipukul angin ke kiri, maka ke kirilah ia. Aku berfikir panjang. Apalah aku nak buat dengan maksud tersirat ‘lalang’ ni.

Zzup! Dapat idea! Maka aku karang tiga ke empat perenggan. Sebelum tu aku ada meminta pendapat sahabat aku itu. Kenapa aku meminta pendapatnya? Kerana setiap jawapannya amat unik bagi aku.

Aku tanya,

“Lalang ini maksud tersiratnya bagaimana?”

Jawab sahabatku itu,

“Cuba tengok lalang tu. Lalang ni tiada apa apa manfaat pun sebenarnya malah menyusahkan. Meskipun kosong, tiada manfaat, tiada apa apa, dia tetap meninggi. Macam manusia jugak. Walaupun kita tidak punya apa apa tapi tetap meninggi diri,”

Tergamam. Tersentap. Semua ada. Okay.

Selama ini, aku fikir lalang itu maksud konotatifnya ialah tidak berpendirian. Rupanya ada maksud tersirat yang tak pernah aku fikir. Benarlah, lain orang lain pemikirannya. Lain orang, lain caranya. Yang pasti, biarlah pemikiran kita ini punyai satu destinasi iaitu menuju redha Ilahi. InsyaAllah.
Berbalik kepada jawapan sahabat aku itu, lalang ni boleh pula dia kaitkan dengan sifat manusia yang meninggi diri. Iya. Lalang itu berada di bawah kita. Kita pijak hari-hari tapi dia tetap meninggi. Dia tetap tumbuh subur. Fikir punya fikir. Yes. Ada benarnya. Personafikasi bagi lalang itu benar-benar tepat dengan sifat kita sebagai manusia yang sering meninggi diri, sombong, takbur, riak dan ujub. Bukan sahaja dengan Allah Azzawajala tetapi juga dengan manusia sekeliling. Allahuakbar. Aku tersentap sendiri memikirkan jawapan sahabatku itu. Sekecil-kecil benda pun boleh jadi sebuah pengajaran yang besar dan berharga. Sungguh! Allah itu Maha Agung.

Syukran Mama Nida dan Sir Faiz diatas task tu. Sekurang-kurangnya dengan perkataan ‘lalang’ itu menjadi sebuah inspirasi buat saya menulis tentang rezeki. Beberapa tema wajib yang telah kami hasilkan ialah REZEKI. Tak sangka pula hadirnya inspirasi melalui ‘lalang’. Cepat-cepat jari jemari aku menyusun aksara.

Baik,

Pernahkah kita memikirkan tentang nikmat dan anugerah yang Allah beri buat kita? Bagaimana kita mensyukuri segala nikmatnya? Bagaimana dengan amal ibadah kita? Solat, aurat, puasa, sedekah dan lain lain? Kita sebenarnya dalam kategori yang mana? Apakah kita ini 50-50 dengan Allah?
Terkadang solat terkadang tidak.

Yang perempuan bila dah boleh solat tapi sengaja lambat mensucikan diri.
Bertudung labuh berjubah longgar tetapi karam dalam lautan pujian ajnabi.
Yang nampak baik dan lemah lembut tetapi berhasad dengki.

Banyak lagi.

Setiap hari, kita bangun dari tidur, kita nampak wajah mak ayah. Kita bangkit dari tidur, ada lauk pauk yang terhidang. Kita bangkit dari tidur, ada bermacam jenis pakaian yang boleh kita pakai. Kita bangkit dari tidur, kita masih punyai tangan, kaki, mulut, hidung, mata dapat melihat dan telinga yang boleh mendengar.

Persoalan saya, apakah kita betul-betul bersyukur dengan apa yang masih kita miliki? Ataupun kita masih ditahap yang sama iaitu kita masih sombong dan takbur dengan nikmat yang Allah beri pinjam dekat kita?

Saya, seorang yang tidak suka dengan insan yang bersifat ‘kurang ajar’.
Tetapi suatu hari saya ada terfikir. Aku tidak suka kepada mereka yang kurang ajar. Tetapi bagaimana coraknya hubungan aku dengan Allah? Apakah aku ini KURANG AJAR dengan Allah yang memberi rezeki kepada aku tidak putus-putus?

Apakah aku mentaati Allah sebenar-benarnya?
Apakah aku ini hambaNYA yang solat awal waktu?
Apakah aku ini hambaNYA yang sering bersedekah?
Apakah aku ini mendahulukan Allah daripada perkara-perkara yang lain?
Apakah amalan aku ini semuanya ikhlas?
Apakah aku menunaikan solat dhuha setiap hari sebagai tanda syukur aku kepada Allah?

Dan bermacam-macam lagi yang aku fikirkan. Bagaimana rupanya sifat aku dengan Allah. Apakah aku ini sangat kurang ajar dengan Allah. Apakah dengan kesenangan dan kemewahan yang Allah beri kepada aku ini, aku meninggi diri tanpa sedar. Allah…

Abah pernah berpesan pada aku, jangan kita lihat orang yang lebih dari kita. Nanti kita tak reti nak bersyukur. Lihat pada mereka yang kurang dari kita ni. insyaAllah, kita sedar dan tahu erti syukur.
Aku melihat, masih ramai yang tergila-gilakan artis negara lain. Sangat obses sehingga wajah-wajah idola mereka disimpan di dalam buku, ditampal dan sebagainya. Maaf saya ingin menegur, kita menggagung-agungkan mereka walhal mereka hanyalah manusia biasa. Kita memuji mereka dengan berbagai-bagai pujian tetapi yang jelasnya mereka itu tidak dapat memberikan contoh yang baik. Sekiranya sesuatu hal itu tidak mendatangkan manfaat kepada kita atau mengingatkan kita kepada Allah, maka sebaiknya kita jangan terlalu obses. Jangan terlalu mengagung-agungkan mereka. Saya beri contoh. Awak punyai suami. Tetapi awak bercerita tentang kebaikan ajnabi lain di hadapan suami. Aku cerita macam-macam. Puji macam-macam. Agak-agaknya, bagaimana perasaan si suami? Sedih. Kecewa.

Itu baru contoh manusia. Cuba pula kita ingat balik siapa kita? Kita hamba, sayang. Hamba Allah. Jadi kenapa kita letak Allah jauh dari kita dan kita memuji muja manusia? Kita kata kita sayang Allah. Tapi yang jelasnya kita terlalu obsess dan mengagungkan manusia. Kita kata Rasulullah SAW itu idola kita tetapi yang pasti setiap hari kita hafal lirik lagu mereka.

Cuba fikir sekejap. Kalau kita ada chance nak jumpa mereka. Apakah kita akan lakukan? bergambar? Hmm. Biasanya kalau jumpa bintang tersohor ni, kita rasa nak peluk, nak salam. Ini kisah benar. Ada seorang insan yang bertemu dengan artis korea. Dirinya seorang muslimah sejati. Sangat manis dan baik tetapi apabila bertemu dengan seorang artis korea yang dipuja oleh seluruh dunia, dia memeluk artis itu. Saya ulang. Memeluk. Memeluk. Allah..

Bila kita suka, kita puji, kita minat sangat-sangat, apapun boleh jadi. Mulanya nak bergambar. Selepas itu bersalam. Selepas itu peluk artis. Saya tidak kata semua tapi saya yakin ramai yang ingin bersalaman dengan artis kesukaan kan? Saya tidak menuduh tetapi saya tahu bagaimana perasaannya bila kita amat menyukai seseorang. Apatah lagi artis tersebut ialah idola dunia masa kini.
Pernah saya dan rakan-rakan sekelas terpilih untuk bertemu dengan angkasawan negara kita semasa saya berumur 12 tahun. waktu itu ramai anak anak muda seperti saya berebut rebut untuk bersalaman dengan angkasawan negara. Setibanya di sekolah, semasa kelas subjek sains, cikgu tiba-tiba habaq mai,

“Sesiapa yang bersalam dengan angkasawan negara tadi, balik rumah nanti solat taubat,”

Allah.. masa itu saya tak faham. Kenapa?

Oh. Bersentuhan dengan ajnabi rupanya...

Allah.. Alhamdulillah Allah jaga saya daripada berebut rebut bersalaman dengan ajnabi.
Perasaan saya, sejujurnya saya kecewa dengan sikap kita yang ‘kurang ajar’ dengan Allah. Kita tidak bersyukur sebenarnya dengan nikmat Allah beri. Kalau lah rasa excited kita berjumpa seorang artis itu ialah perasaan kita untuk bertemu dengan Allah dalam ibadah kita, Allahuakbar..betapa suka dan sayangnya Allah dekat kita. Kalaulah perasaan obsess kita terhadap artis-artis itu sehingga kita ingat nama, hafal lirik lagu artis tersebut seperti rasa obsess nak menghafal al Quran dan hadis, alangkah Allah suka. Rasulullah SAW suka. Sudah pasti, Rasulullah SAW akan bangga dengan umatnya. Allah SWT pasti sayang dan memberi rahmatNYA buat hamba-hambaNYA yang sentiasa ingat dan bersyukur padaNYA.

Jangan mencipta alasan. Alasan-alasan itu sebenarnya juga bisikan syaitan yang ingin kita semakin jauh dengan Pencipta. Jangan mempertahankan artis-artis, sebaliknya pertahankan AGAMA kita dan saudara seagama kita yang kini sedang berjuang bermati-matian demi agama. Jangan mempertahankan sikap kamu yang kononnya tidak terlalu obsess dan tidak salah minat pada artis tetapi sebaliknya fikirkan cara dan berusaha untuk mempertingkatkan ibadahmu kepada ALLAH. Setiap kali kita mencipta alasan, semakin jauh kita dari Allah. Apa kata, kamu kumpul ayat-ayat suci al quran, kamu tampal dan setiap hari kamu baca. Apa kata, kamu beli buku dan belajar hadis. Amalkan. Allahuakbar. Allah pasti suka.

Saya bukan hanya menyentuh tentang artis dari luar negara. Bukan. Saya menyentuh semua. Tidak kira artis negara apa sekalipun. Kita tidak salah berhibur. Tetapi, biar kena pada tempatnya. Kita jangan obsess, jangan terlalu excited pada sesuatu yang tidak memberi manfaat pada kita. Jangan sampai pada mulanya hanya suka dan minat biasa tetapi bila dah jumpa artis yang kita minati itu, terus kita rasa nak bersalam dan bergambar dekat dekat. Ingat wahai DAIE, kita punyai agama. Agama kita itu indah. Maka kitalah yang perlu menjaga imej agama ini. Jangan kita menduakan Allah. Jangan kita rasa terlalu excited dengan manusia sehingga terlupa Allah letak dimana. Allah, dalam hati. bukan kedua atau ketiga. Tetapi selama-lamanya yang PERTAMA DAN UTAMA.

Kenapa saya sentuh tentang isu artis?

Sebab fenomena ini masih segar dalam kehidupan kita. Kita sendiri boleh nilai. Kita sendiri boleh berfikir mana buruk mana tidak. Apakah kita layak dikatakan bersyukur tetapi kita tidak meletakkan Allah di dalam hati?  Cuba lihat dan selidik bagaimana sikap kita? Betapa excitednya dengan artis. Memuji muji. Namun dalam sehari, sekali pun kita terlupa untuk memuji Allah dan berselawat kepada Rasul.

Maaf, jika kamu masih beralasan, kamu akan memilih untuk mempertahankan pendapat kamu. Sekiranya kamu berasa sedar, kamu pasti mengambil langkah hari ini juga untuk perlahan-lahan berubah. Saya juga seperti kamu. Tidak lari daripada kelalaian. Sikap kita yang menggagung-agungkan manusia ini sudah cukup jelas menggambarkan bagaimana kita dengan Allah. Saya tidak kata, mereka yang alim itu tidak berhibur. Saya tidak kata, manusia yang bersyukur itu langsung tidak menonton drama. Tetapi saya menyentuh tentang sikap obsess kita dengan manusia sehingga kita tanpa sedar menduakan Allah.

Apakah kita ini bersyukur?

Allah beri kita macam-macam tapi benda lain pula yang kita utamakan. Solat diakhir waktu. Solat pun tergopoh gapah. Hidup senang tetapi sedekahnya jarang. Al Quran ada tetapi bacanya tidak tetapi, hal-hal lain boleh pula kita bersungguh-sungguh nak buat.

Apakah kita ini bersyukur?

Tanpa sedar, kita sombong dengan Allah. Tanpa sedar, kita riak, takbur. Kita lupa bersyukur dengan rezeki yang kita ada ini. Kita terleka, tak apalah, kita boleh kembali semula pada Allah. Allah Maha Penerima Taubat. Yakinlah. RahmatNYA melebihi murkaNYA. Cuba kita muhasabah diri. kalau kita tiada mata, bagaimana hidup kita? kalau kita tiba-tiba Allah ambil tangan kita, bagaimana agaknya hidup kita? kalau tiba-tiba kita tiada wang, bagaimana hidup kita? kalaulah kita tiada makanan untuk dimakan, bagaimana dengan kita?

Semua itu rezeki. Tubuh badan yang sihat itu rezeki. Dapat menatap wajah kedua ibu bapa itu rezeki. Ada abang dan adik itu rezeki. Ada kereta, ada kawan, ada rumah besar, dapat belajar..semua itu rezeki. Lahir sebagai seorang Islam, itu rezeki. Hari ini, masih dapat bernafas walaupun diri ini sarat dengan dosa, itu rezeki.

Jadi, jangan kita lupa. Jangan kita sombong. Takbur. Riak. Jangan kita meninggi diri. kita hakikatnya tidak punya apa apa. Esok-esok, syafaat Rasulullah SAW yang kita minta. Bukannya manusia biasa. Kita ni, nak apa apa pun kita minta pada Allah. Kita ini lemah. Allah itu Maha Berkuasa. Jadilah hamba yang ingat apa tujuan kita hidup. Apa yang kita perlu lakukan dalam hidup. Fikirkan destinasi terakhir kita.

Fikir. Fikir. Fikir.

Sudah cukup masanya kita agungkan manusia. Sudah cukup masanya kita dengan dunia jahil kita. kita perlu bertindak sekarang. Berubah perlahan-lahan. bertaubat diatas segala kelalaian dan kealpaan kita kepada Allah. Tanamkan rasa syukur yang sebenar-benarnya. Syukur, syukur, syukur. Syukur dengan rezeki Allah bagi. Kalau DIA nak ambil semula, sekejap sahaja. Jangan kita salah gunakan nikmat yang Allah beri. Jangan pula kita berhasad dengki. Setiap orang lain ujian dan rezekinya. Jadilah manusia yang bersyukur.

Gunakan nikmat yang Allah beri untuk ke arah kebajikan. Niat kita untuk membantu insan-insan yang memerlukan. Berubah. Tuntut ilmu. Kita ini sebenarnya banyak lagi kena cari ilmu. Kena gali kena belajar kena amal. Jangan kita jadi manusia yang sombong. Sombong dengan Allah dan manusia sekeliling kita. Buang rasa riak dalam hati. sesungguhnya rasa sombong riak takbur itu hanyalah menjauhkan diri kita dari Allah. Dan pasti, ia adalah sifat tercela.

Kalau harini minta duit dengan ayah, ayah beri RM100 sahaja, bersyukurlah. Sekurang-kurangnya ayah masih mampu beri wang RM100 walaupun kita memerlukan lebih dari itu. kita taktahu peritnya seorang ayah nak mencari duit.

Sebagai hamba Allah, jangan lupa mentaati Allah. Ya, benar, kita tak lari daripada berbuat dosa. Kita ini adakalanya tergelincir daripada landasan istiqamah. Kita adakalanya terlupa dan terleka, namun tetap juga kita kena kembali padaNYA. Jangan terus terusan melakukan dosa yang sama. Ingat dan muhasabah balik apa yang Allah dah beri. Jangan pula kita menduakan Allah. Kalau kita punyai seorang isteri/suami yang menduakan kita, curang dengan kita, apa agaknya kita rasa? Pedih? Kecewa? Sedih?

Maka sebab itulah kita jangan menduakan Allah. Berusahalah untuk menjadi mukmin yang cemerlang. Menjadi hambaNYA yang sentiasa bertaubat di atas segala dosa. Belajar mengutamakan suruhan Allah daripada nafsu kita. Belajar dan didik hati supaya kita tidak mengagungkan manusia melebihi kita mengagungkan Allah SWT. Jangan sampai kita jatuh mencium bumi baru kita cari mana Allah.

Sebagai anak, jalankan tanggungjawabmu sebaik mungkin. Kamu ada mak ayah, itu sebuah nikmat yang amat besar. Tidak bergalang ganti. Serious talk. Ada rezeki, kamu dapat belajar, maka belajar baik-baik. Jangan sia siakan waktu untuk kamu belajar. Belajar betul betul. Ingat mak ayah kamu yang menghabiskan banyak wang demi kamu dan adik beradik kamu. Jangan pula kamu leka dengan ajnabi, jangan kamu leka dengan puji-pujian kekasih kamu. Ingatlah wahai gadis, seseorang lelaki itu tidak berbuat apa-apa pun untukmu selain menikahimu. Menghalalkan hubungan yang haram. Ingatlah, semakin kita ingat pasangan kita, semakin jauh kita dari Allah. Hati orang yang bercinta akan selalu mengingati kekasihnya daripada Allah Yang Maha Esa. Allahuakbar. Bersyukurlah. Jangan juga kita jadi anak-anak yang hanya tahu berseronok. Ponteng kelas, sekolah, merempit dan terlibat dengan dadah. Hancur luluh hati mak ayah kita. ada peluang dapat belajar, belajar. Bukan bermain cinta tidak tentu arah. Jangan menzalimi diri sendiri.

Jangan buta menilai cinta Allah buat kita.
Jangan buta menilai kasih sayang mak ayah buat kita.
Jadilah seorang hamba yang bersyukur.

Dan antara nikmat yang maha hebat ialah kita dilahirkan sebagai seorang ISLAM.
Hayatilah keindahan ISLAM melebihi kamu menghayati perkara-perkara yang lain.
Tuntutlah ilmu agar kamu tidak menjadi seperti lalang yang tetap meninggi meskipun tiada apa apa manfaat.

Sesungguhnya, tidak masuk syurga seseorang itu yang mempunyai sifat riak 
dalam dirinya walau sebesar zarah.
Bersyukurlah.
Jangan menduakan Allah.

Blvckrossee.

30 Mac 2016

No comments: